Thursday, 19 March 2009

~cerita kita~

“Dr Shahril? “
Suara itu megejutkan aku dari lamunan. Entah ke mana agak mindaku melayang. Masa-masa sebegini sepatutnya konsentrasiku tidak terganggu. Tapi entah mengapa peristiwa seminggu lalu kerap menggangguku.

“ Ya? Ada apa-apa yang boleh saya bantu ke?”

Rasanya bagaimana agaknya rupa wajah ketika ini. Kelat.

“Dr Shahril, persidangan akan ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu.”
Mia terus berlalu pergi. Mia memang terkenal dengan sifatnya yang tidak suka membuang masa berborak dengan rakan doktor yang lain. Kelakuannya yang suka bercakap terus terang dan tidak pandai bergaul, kadang kala membuatkan aku kurang senang. Mia Karina, atau Dr Mia Karina, satu nama yang selalu membuatkan aku hilang keyakinan terhadap kebolehan aku sebagai seorang doktor bedah. Kebolehan aku sekiranya dibandingkan dengan kebolehan Mia, seperti langit dan bumi. Mungkin juga seperti Marikh dan Zuhal. Walaupun usianya 2 tahun lebih muda daripadaku, namun kebolehannya memang tidak boleh disangkal. Mia sangat pakar dalam membuat penilaian awal sesuatu penyakit tanpa sedikitpun keraguan.


Pernah suatu ketika, seorang pesakit yang menghidap penyakit yang sangat sukar untuk dikesan pada peringkat awal. Dengan hanya sentuhan pertama sahaja, dia mampu mentakrifkan masalah yang dihidapi oleh pesakit tersebut. Oleh kerana kepekaannya, pesakit itu berjaya diselamatkan sebelum kondisinya menjadi lebih teruk. Aku sebagai seorang lelaki berasa sangat rendah diri kerana bagiku, aku tidak mempunyai apa-apa kebolehan yang membanggakan. Doktor seperti aku boleh didapati di mana-mana, tetapi doktor seperti Mia, hanya satu dalam sejuta.


Persidangan ditangguh, maksudnya masa tengahari aku terluang. Aku sememangnya mengharap agar persidangan itu dibatalkan hari ini kerana aku hendak mengambil masa untuk berehat . Aku sangat merindui katil empuk yang menungguku di rumah. Sudah seminggu aku hanya tidur-tidur ayam di atas sofa keras yang menyebabkan belakangku terasa ngilu sekali. Aku terus mengemas mejaku berhasrat hendak menghabiskan petangku di rumah.
Tok..tok..tok.. ketukan di pintu membantutkan hasratku. Kulihat, Dewi, berada di pintu pejabatku tercungap-cungap. Mungkin kerana dia berlari cemas dari unit lain yang sememangnya agak terasing dari unit tempatku bertugas. Aku membiarkan dia menarik nafas panjang sebelum meneruskan bicara. Aku memberikan perhatian sepenuhnya kepada maklumat yang bakal aku terima.


“Dr Shahril, ada kecemasan di unit kecemasan yang memerlukan doktor bergerak ke sana secepat mungkin. Mangsa cedera parah akibat kemalangan”.
Tanpa membuang masa aku berlari terus ke unit kecemasan. Sesampainya aku di bilik pembedahan, aku dengan pantas diberikan ‘briefing’ keadaan mangsa. Mangsa menghadapi pendarahan dalam bahagian abdomen yang serius. Tekanan darah mangsa tidak dapat dipastikan. Peratus kejayaan pembedahan tidak dapat dipastikan lagi sebelum pembedahan dijalankan.


Dari saat aku mengenggam pisau bedah, bermula pertarungan untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Sebelum aku bermula, aku menoleh ke arah wajah pesakit seperti yang aku biasa lakukan sebelum pembedahan bermula agar aku tidak takut dan lebih bersemangat. Namun kali ini, rasanya tidak sama kerana pesakit yang menjadi ‘habuanku’ kali ini adalah seseorang yang aku kenal.

“Mia??? “

Wajah Mia yang telantar di hadapanku kini membuatkan aku kaku tiada bicara. Tanganku pula mula menggeletar kesejukan. Dan konsentrasiku entah ke mana. Namun istighfar menguatkan aku untuk meneruskan pembedahan dengan tenang. Jikalau aku terus- terusan kaku tiada bicara, sudah pasti nyawa Mia lebih terancam. Setelah pembedahan bermula, pendarahan dalam abdomen adalah disebabkan luka pada hati. Bukan hanya satu luka tapi 8 luka kesemuanya. Pembantuku mengeluh dan aku arif mengapa keluhnya berat.


‘Pringle Maneuver’, salah satu prosedur pembedahan yang memerlukan tahap kemahiran yang tinggi. Hanya beberapa sahaja pembedahan yang berjaya menyelamatkan nyawa pesakit. Salur-salur darah portal akan diklipkan untuk menghentikan pengaliran darah ke hati. Kemudian barulah prosedur membaiki bahagian yang tercedera dilakukan. Aku perlu menggunakan masa yang singkat kerana pengaliran darah telah dihentikan dan sekiranya melebihi 30 minit, ia akan mengancam nyawa pesakit.

Aku sedar kini hanya 1peratus sahaja harapan yang tinggal untuk menyelamatkan Mia. Mampukah aku???

“Mia..beri aku peluang…”


15 minit….


1 jam…..


2 jam...


BUP!! Pintu OR terkuak..sekujur badan diusung keluar. Hanya sepi menemani ruang legar. Tiada kata.

No comments:

Post a Comment